Capaian internet penentu kejayaan Digitalisasi Selangor, negeri pintar

SHAH ALAM, 15 NOV: Kejayaan agenda Digitalisasi Selangor dan negeri pintar menjelang 2025 bergantung kepada capaian internet di negeri ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata usaha meningkatkan kemudahan tersebut diberi tumpuan pada tahun depan bagi memastikan rakyat menerima capaian internet berkelajuan tinggi.

“Kita tidak akan berjaya melahirkan masyarakat digitalisasi atau masyarakat pintar jika capaian internet lemah, jadi ia menjadi cabaran kepada Kerajaan Negeri untuk merealisasikannya.

“Internet menjadi keperluan asas kehidupan yang sama penting seperti elektrik, air dan tempat tinggal,” kata Rodziah Ismail pada program Bual Bicara anjuran Media Selangor.

Orang ramai mencuba perkhidmatan Wi-Fi Smart Selangor. Foto SELANGORKINI

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk sejumlah RM17.5 juta bagi menjayakan inisiatif WiFi dan Data Internet Selangor yang dijangka memberi manfaat hampir 54,000 pengguna.

Dato’ Menteri Besar berkata program menumpukan mahasiswa, ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah (B40) bagi memastikan agenda pendigitalan dinikmati rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penempatan WiFi juga disusun semula dengan menumpukan kluster lebih memerlukan seperti perumahan, institusi pendidikan dan kesihatan, pusat komuniti, pengangkutan, sukan serta rekreasi.

Lebih 3,600 pusat akses WiFi Smart Selangor ditempatkan di seluruh negeri setakat ini.

The post Capaian internet penentu kejayaan Digitalisasi Selangor, negeri pintar appeared first on Selangorkini.