Rumah Selangorku sentiasa laris, harga murah faktor ramai pembeli

SHAH ALAM, 3 MAC: Tawaran harga rendah Rumah Selangorku menjadi faktor kediaman mampu milik yang dibangunkan Kerajaan Negeri mendapat permintaan tinggi, kata EXCO perumahan.

Menurut Rodziah Ismail, permohonan bagi kediaman itu melebihi 300 peratus daripada jumlah yang disediakan setiap kali projek pembinaan di mana-mana lokasi dibuka.

“Rumah Selangorku dijual dari RM42,000 hingga RM250,000. Harga ini berpatutan untuk kawasan bandar, malah lokasi projek perumahan juga strategik.

“Di Selangor, kita tiada isu rumah tidak laku kerana rumah mampu milik disediakan Kerajaan Negeri sentiasa mendapat permintaan. Ramai menantikan projek ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan reka bentuk dan komponen berkualiti Rumah Selangorku selain dilengkapi perabot dan kemudahan tertentu turut menjadi perhatian orang ramai.

Pada Ogos tahun lalu, Rodziah memaklumkan Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 215,930 unit kediaman membabitkan 372 projek Rumah Selangorku sejak diperkenal pada 2014.

Beberapa inisiatif turut dilaksana bagi membantu penduduk memiliki kediaman sendiri iaitu Skim Smart Sewa dan Skim Bantuan Biaya Rumah yang akan dilancar selepas Hari Raya Aidilfitri.

The post Rumah Selangorku sentiasa laris, harga murah faktor ramai pembeli appeared first on Selangorkini.