250 pemohon baharu bantuan bulanan RM300 di Gombak Setia setakat 7 Mac

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 9 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menerima 250 permohonan baharu Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) setakat Selasa lalu.

Pegawai PKM DUN Gombak Setia Din Yahaya berkata kesemua permohonan dibuat secara dalam talian itu sedang disemak untuk kelulusan.

“Tahun lalu sebanyak 674 keluarga di DUN ini menerima bantuan tersebut yang dibayar RM300 sebulan.

“Biarpun kuota belum ada, kita berharap agar Kerajaan Negeri dapat menambah sehingga 1,000 penerima kerana ramai golongan memerlukan di sini,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Din, selain maklumat diberi pemohon serta menyemak dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), pihaknya turut bekerjasama dengan ketua-ketua kampung untuk memilih mereka yang layak.

Bingkas adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program yang merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun diagih menerusi aplikasi e-dompet Wavpay.

The post 250 pemohon baharu bantuan bulanan RM300 di Gombak Setia setakat 7 Mac appeared first on Selangorkini.