Hijrah lawat tiga usahawan berjaya, bantu luaskan perniagaan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 14 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) mengunjungi tiga usahawan berjaya yang dibiayai agensi itu menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2023 hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Normaiza Yahya berkata tiga Usahawan Sukses Hijrah itu mempunyai kisah kejayaan tersendiri dalam perniagaan mengecat kenderaan, bakeri dan produk pencuci.

“Program bertujuan lihat kejayaan Hijrah dalam bantu usahawan dengan berikan pinjaman dana sama ada mulakan perniagaan atau tambah modal luaskan perusahaan supaya mereka dapat tambah pendapatan.

“Dengan adanya acara sebegini kita dokumentasikan kejayaan usahawan ini dan ketengahkan mereka supaya boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Pengusaha bakeri DP Pastry House, Sharmalizawati Ramle ketika lawatan Kembara Sukses Hijrah 2023 di premisnya di Puncak Alam pada 14 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Normaiza menjelaskan pemilihan Usahawan Sukses Hijrah dinilai menerusi beberapa kriteria antaranya disiplin dalam pembayaran semula pinjaman.

“Bila bayaran cantik kita anggap ada perkembangan dalam perniagaan daripada tiada kakitangan boleh gajikan pekerja dan miliki dua atau tiga cawangan.

“Malah kita sasar mereka buat ulangan pinjaman antara dua hingga tiga kali bertujuan bantu mereka tingkatkan pendapatan sekurang-kurangnya sekali ganda berbanding sebelum buat pinjaman,” katanya.

Pengusaha produk pencuci, Elangkovan Narayanan menunjukkan sebahagian produk keluaran kilangnya di Eagle Chemitech Resources Sdn Bhd pada 14 Mac 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Hijrah menawarkan tujuh skim pembiayaan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka iaitu i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

Pembiayaan di bawah inisiatif peduli rakyat itu boleh dimohon menerusi pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/e-hijrah/login dan maklumat lanjut di www.hijrahselangor.com.

The post Hijrah lawat tiga usahawan berjaya, bantu luaskan perniagaan appeared first on Selangorkini.