Selangor di landasan tepat, tawar puluhan inisiatif kepada penduduk

SHAH ALAM, 14 MAC: Selangor berada pada landasan tepat apabila giat membantu penduduk selain mampu menawar puluhan inisiatif sejak 2008.

Wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata usaha itu dibuktikan dengan adanya tujuh program sehinggalah 46 skim Inisiatif Selangor Penyayang (ISP).

“Selangor cepat lakukan program. Ini contoh Kerajaan Negeri yang bagus dan pastikan rakyat dapat manfaat.

“Kita di landasan betul hingga mampu terbang tinggi. Landasan kita kukuh. Kita kongsi bersama rakyat dan pastikan semua merasai,” katanya ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika istiadat pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 menyeru penduduk menyertai 46 program kebajikan ISP.

Baginda turut menghargai usaha Kerajaan Negeri yang memperkenalkan pelbagai program dan kebajikan untuk manfaat rakyat.

Bermula 2008 selepas memegang tampuk pentadbiran, Kerajaan Selangor menyedia tujuh program dengan tema Merakyatkan Ekonomi Negeri.

Skim bertambah kepada 43 menerusi Inisiatif Peduli Rakyat pada 2017 sebelum penyelarasan dibuat menjadikan 33 bantuan disediakan pada 2019.

The post Selangor di landasan tepat, tawar puluhan inisiatif kepada penduduk appeared first on Selangorkini.