Skim Ceria: RM1.81 juta baiki enam blok Pangsapuri Bukit Tinggi 1

KLANG, 16 JUN : Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.81 juta bagi membaik pulih enam blok Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di sini menerusi program Skim Ceria.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata kerja baik pulih dibuat secara berfasa sejak 2021 berikutan peruntukan sedia ada perlu mengambil kira kawasan lain yang turut memohon skim itu.

“Kawasan ini adalah antara pangsapuri yang saya lawati pada 3 Mei 2021 selepas diberi tanggungjawab menjadi EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar.

“Ketika itu, saya melihat keadaan bumbung pangsapuri di sini terlalu daif dan menjejaskan keselamatan penghuni terutama yang tinggal di tingkat paling atas.

“Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, saya meminta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor memberi bantuan baik pulih Skim Ceria supaya penduduk dapat tinggal dalam suasana selesa serta selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Projek Skim Ceria di Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di sini hari ini.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail (tengah) bergambar bersama para penerima pada Majlis Simbolik Penyerahan Projek Skim Ceria yang diadakan di Dewan MPK, Pangsapuri Bukit Tinggi 1, Jalan Batu Nilam 15, Bandar Bukit Tinggi 1, Klang pada 15 Jun 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Rodziah menjelaskan tiga blok lagi masih belum dibaiki dan kini dalam proses pelantikan kontraktor yang dijangka memulakan kerja pada Ogos.

“Saya berharap dengan bantuan Skim Ceria yang diterima oleh pangsapuri ini dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada penduduk untuk segera menubuhkan badan pengurusan.

“Penubuhan badan pengurusan juga dapat mendidik pemilik petak memberi komitmen untuk bersama mengurus dan menyelenggara pangsapuri Bukit Tinggi 1 ini supaya lebih tersusun,” katanya.

The post Skim Ceria: RM1.81 juta baiki enam blok Pangsapuri Bukit Tinggi 1 appeared first on Selangorkini.