Jaga kebajikan semua, MB atur program ringankan beban rakyat

SHAH ALAM, 16 JUN: Lima belas tahun lalu, agenda kebajikan mula dirasai hasil kerja berpasukan pemimpin Kerajaan Negeri dan iltizam mengembalikan semula hasil kepada rakyat.

Bermula tujuh pakej bantuan di bawah dasar merakyatkan ekonomi, jumlahnya bertambah kepada 44 inisiatif setakat Disember 2022 menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP), seiring peningkatan pendapatan hasil urus tadbir cekap.

Di bawah ISP, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM600 juta untuk membantu kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam bidang kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

Enam inisiatif digariskan iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor (10 program), Iltizam Kesihatan Selangor (11), Iltizam Pendidikan Selangor (7), Iltizam Perumahan Selangor (7), Iltizam Keusahawanan Selangor (5) dan Iltizam Mesra Anak Selangor (4).

Bawah kepemimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, kebajikan rakyat diperluaskan lagi, termasuk memperkenalkan beberapa program di luar ISP bagi menyesuaikan perkembangan ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Bersempena genap lima tahun pentadbiran beliau pada 19 Jun ini, Selangorkini meringkas sebahagian program baharu bagi membantu rakyat daripada beban kos sara hidup dan mengangkat martabat mereka.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Jelajah Ehsan Rakyat (JER)

Inisiatif kerajaan ini bagi mendepani masalah kenaikan harga barang. Program itu yang menawarkan produk harga lebih rendah daripada pasaran memanfaatkan kira-kira 800,000 penduduk.

Ia membabitkan barang makanan asas yang dijual 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menguruskan jualan murah berkenaan menawarkan barangan seperti ayam pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)

Sebelum program itu dilaksana, bantuan disalur menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT). Setiap peserta menerima RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.

Menyedari keperluan semasa yang semakin mendesak, Amirudin menambah kepada RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Bilangan penerima juga bertambah daripada 25,000 kepada 30,000 keluarga, sekali gus memanfaatkan 180,000 penerima (purata enam orang satu keluarga).

Wan Nur Laila Muhammed Arifin, 32, (tengah) menerima sijil Skim Insurans Am Selangor (INSAN) daripada Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari selepas melancarkan skim berkenaan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI

Skim Insurans Am Selangor (INSAN)

Insurans ini memberi perlindungan sehingga RM10,000 seorang kepada lebih enam juta penduduk, termasuk pengundi di Selangor, yang berusia 30 hari hingga 80 tahun.

Pendaftaran dibuka selama setahun mulai Oktober 2022, perlindungan ini untuk seseorang yang hilang keupayaan kekal atau kematian disebabkan kemalangan.

Setakat 17 November lalu, 3,563,844 orang memohon untuk menerima manfaat berkenaan.

Projek Rumah Idaman

Pada 2019, Kerajaan Negeri melancarkan projek Rumah Idaman berkeluasan 1,000 kaki persegi tetapi ditambah lagi kelengkapan asas dengan harga di bawah nilai pasaran RM250,000 seunit.

Bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah pertama, setiap unit disedia dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, pemanas air di dua bilik air, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian.

Selain projek ini, Kerajaan Negeri juga mempunyai beberapa kemudahan tempat tinggal menerusi kluster Iltizam Perumahan Selangor seperti Rumah Selangorku dan Skim Smart Sewa.

Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor

Program ini diperkenal bagi memudahkan orang ramai memiliki rumah. Dengan peruntukan RM100 juta, ia membantu rakyat Selangor menyelesaikan masalah sukar mendapat wang deposit.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Amirudin mengumumkan skim pembiayaan patuh syariah yang menyediakan wang deposit antara 10 hingga 15 peratus.

Skim Bantuan Biaya Rumah dijangka memanfaatkan kira-kira 4,000 pemohon.

Antara pekerja p-panggilan yang hadir pada majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sempena Selangor Youth Festival 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 10 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)

Bermula ketika wabak Covid-19 pada 2020, RiDE membantu meningkatkan penglibatan belia yang kurang kemahiran dan menganggur dalam sektor ekonomi sampingan (gig economy).

Mereka ditawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Selain itu, peserta RiDE turut menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan insurans am INSAN yang ditawarkan kepada semua penduduk. Setakat Januari, seramai 6,500 anak muda menyertai RiDE daripada lebih 14,000 permohonan.

Skim Air Darul Ehsan

Agihan air percuma sebanyak 20 meter padu memang sudah sinonim dengan Kerajaan Selangor. Namun, bawah pentadbiran Amirudin, mereka yang layak menerima manfaat ini dinaikkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Warganegara Malaysia yang menetap di negeri ini, sama ada bujang atau berkahwin, layak mendapat kemudahan tersebut bagi sebuah unit kediaman atau satu akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

SMUE diperkenalkan bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Skim Mesra Usia Emas (SMUE)

Bagi menghargai mereka ketika masih hidup, baucar beli-belah sebanyak RM100 setiap tahun sebelum ini ditingkatkan kepada RM150 seorang. Sementara khairat kematian diberikan sebanyak RM500.

“Setelah beberapa tahun ia dilaksanakan, terdapat permintaan agar manfaat SMUE ini dapat dinikmati sendiri oleh warga emas, bukannya dinikmati oleh waris mereka apabila mereka meninggal dunia,” kata Amirudin pada Oktober 2020.

“Justeru, mulai tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menambah baik program SMUE ini dengan memberikan manfaat berbentuk pemberian baucar Jom Shopping kepada warga emas yang berdaftar setiap tahun.”

Dana Bantuan Guaman Selangor

Dana ini bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mendapat nasihat guaman percuma, khususnya menyelesaikan masalah kekeluargaan dan keganasan rumah tangga.

Termasuk bantuan kes syariah, bantuan ini asalnya untuk keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah tetapi baru-baru ini ditingkatkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Inisiatif itu dilaksana dengan kerjasama Majlis Peguam Malaysia dan Majlis Peguam Selangor sama ada kes sivil atau syariah.

Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Platform Selangor (PLATS)

Diperkenal pada Ramadan 1441 (Mei 2020), ia dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang bulan tersebut ketika orang ramai sukar bergerak kerana sekatan akibat wabak Covid-19.

Namun pada 2021, PLATS 2.0 tidak terhad ketika bulan puasa sahaja, malah ia dijadikan pemangkin ekosistem Agenda Pendigitalan Selangor.

Bermula dengan 300 hingga 400 peniaga, sehingga hujung tahun 2022, hampir 20,000 peniaga berdaftar dengan PLATS.

Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILSC)

Ia memberikan latihan pekerjaan dan pemberdayaan kepada golongan orang kurang upaya supaya mereka mudah berdikari dan hidup bersama masyarakat tanpa rasa terasing.

Iltizam Selangor Sihat (ISS)

Ditambah baik daripada Skim Insurans Peduli Sihat, ia memberi perlindungan kepada 100,000 pemegang kad dan 150,000 ahli keluarga berdaftar.

Dengan dana RM45 juta, ISS memberi manfaat untuk mendapat rawatan asas, kecacatan kekal akibat kemalangan, penyakit kritikal dan bantuan pengebumian.

Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring sempena Jelajah kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program Saringan Kesihatan Percuma (Selangor Saring)

Diperkenal sejak 2022, saringan ini untuk mengesan penyakit tidak berjangkit antaranya jantung, buah pinggang, ujian darah dan air kencing.

Iltizam Pendidikan Fardu Ain

Pemberian subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berjumlah RM30 sebulan kepada 14,000 murid kurang mampu di 296 sekolah pendidikan asas agama di seluruh Selangor.

Turut diperkenalkan, Ujian Saringan Selangor Kanser (Selcan), Pemeriksaan Kesihatan Mata, Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS) dan Iltizam Anak Selangor.

The post Jaga kebajikan semua, MB atur program ringankan beban rakyat appeared first on Selangorkini.