Tekad terus berkhidmat, MB harungi ujian demi berbakti kepada rakyat

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 15 JUN: Diamanah mengetuai Selangor ketika usia 38 tahun, Dato’ Seri Amirudin Shari ditakdir berdepan cabaran luar jangka: pengkhianatan wakil rakyat sehingga banyak kerajaan runtuh, pandemik Covid-19 dan banjir besar pada 2021.

Bagaimanapun Ahli Dewan Negeri Sungai Tua (dahulu, Batu Caves) selama tiga penggal berjaya mengharungi cabaran besar berkenaan, malah terus berkhidmat dengan merencana masa depan negeri.

Disenangi penjawat awam negeri, beliau yang suka merendah diri sering mengambil pendekatan musyawarah dan kelihatan kurang terikat dengan protokol sebagai pemimpin negeri. Ketika bersama orang ramai, beliau seolah-olah orang kebanyakan.

Pada 19 Jun ini, genaplah satu penggal sumbangannya sebagai peneraju Kerajaan Negeri. Beliau yang menang kerusi tersebut pada usia 28 tahun mencurah bakti sebagai EXCO pembangunan generasi muda, sukan, kebudayaan dan pembangunan usahawan pada 2014.

Ketika Putrajaya dan banyak negeri menyaksikan pengkhianatan politik pada Februari 2020, Kerajaan Selangor bawah kepemimpinan Amirudin tidak terjejas. Berkat majoriti wakil rakyat berdiri teguh di belakangnya.

Kerana kestabilan itulah, Pakatan Harapan Negeri berjaya mengharungi wabak Covid-19, yang mencetuskan krisis kesihatan global, dengan memperkenalkan pakej bantuan pada 2020 dan 2021, selain Belanjawan 2021 dan pelan pemulihan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pakej Selangor Prihatin dilancarkan pada 20 Mac 2020, dua hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumum di seluruh negara, dengan nilai RM127.78 juta. Pakej kedua yang bernilai RM272.8 juta diumum pada 1 April 2020.

Inisiatif diberikan untuk manfaat petugas barisan hadapan, mahasiswa, peniaga kecil dan skim Smart Sewa golongan berpendapatan rendah, insentif khas penjaja berlesen dan bantuan untuk petani.

Apabila virus ini gagal dikekang setahun selepas PKP pertama, Kerajaan Negeri melancarkan dua lagi pakej bantuan Kita Selangor, masing-masing RM73.9 juta dan RM551.6 juta, pada Januari dan Jun.

Selain bantuan kepada penduduk yang memerlukan, pakej ini menyediakan dana untuk saringan kesihatan sehingga Selangor muncul sebagai negeri yang aktif menjejak virus tersebut.

Selain program suntikan kerajaan persekutuan, Amirudin membeli sendiri vaksin dengan dana RM200 juta bagi mempercepatkan kekebalan lebih 6.5 juta penduduk, khususnya di kawasan kepadatan tinggi.

Walau pentadbiran Putrajaya dan Shah Alam berbeza parti, dan rasa tidak puas hati penyokong masih membara susulan krisis politik pada 2020, beliau tetap bertindak profesional menjalin kerjasama untuk membendung Covid-19.

Tidak lama selepas kes pandemik mula berkurangan, berkat vaksinasi meluas, Selangor berdepan pula bencana banjir di luar jangka di hujung 2021. Hujan lebat mencurah-curah dalam dua atau tiga hari mengatasi purata sebulan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri’ Amirudin Shari membantu penduduk membersihkan kawasan terlibat banjir di Kampung Cemperai, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pantas bertindak

Walau persiapan dibuat seawal September dan Oktober, jabatan yang ditugaskan tidak menjangkakan banjir boleh seburuk ini. Bencana ini melebihi kemampuan jentera negeri seperti diakui sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen sebulan kemudian.

Jumlah hujan Disember itu seumpama fenomena yang berlaku setiap 100 tahun sekali, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Mengenang nasib malang 18 Disember itu, ramai penduduk teringat banjir besar di Selangor dan Kuala Lumpur pada 1971. Curahan hujan sehingga 380 milimeter lambat pula keluar susulan air laut sedang pasang besar.

Tetapi Amirudin cepat bertindak. Beliau mengetuai mesyuarat penyelarasan banjir bersama agensi kerajaan pada 3 petang hari pertama kejadian. Pada malamnya beliau meninjau sendiri walau perhubungan jalan raya banyak terputus.

Agensi penyelamat barisan hadapan terus digerakkan, 46 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menampung mangsa Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Pusat Operasi SMART Selangor beroperasi 24 jam untuk selaras bantuan dan operasi menyelamat. Sebanyak 134 pintu air ditutup bagi mengelak limpahan air laut.

Amirudin meredah air bah di kawasan terjejas teruk. Gambar dan video beliau sedang menyelamatkan bayi yang baru lahir dan menyelamatkan orang di Taman Sri Muda, Shah Alam tular di media sosial. Tindakannya itu mendapat reaksi positif orang ramai.

Beliau tangkas melancarkan pakej Bantuan Selangor Bangkit sebanyak RM100 juta. Selain bantuan RM1,000 bagi setiap isi rumah yang terjejas, pakej itu juga untuk kerja pembersihan, pemulihan dan pembinaan semula prasarana.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Setakat 7 Mac 2022, seramai 115,852 keluarga menerima bantuan RM1,000 dengan peruntukan sebanyak RM115.8 juta. Manakala 14 keluarga korban banjir pula masing-masing menerima RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM140,000.

Tidak lama selepas wabak berakhir, beliau menyusun pelan pembangunan lima tahun Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada Julai 2022. Negeri pertama yang mempunyai rancangan lima tahun, RS-1 yang berakhir 2025 bertujuan mencapai:

■ pendapatan isi rumah dianggarkan RM9,290 sebulan
■ mengurangkan peratus kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus
■ Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) 6.5 hingga 7 peratus setiap tahun
■ peluang pekerjaan 3.5 hingga 3.8 juta orang
■ jaminan bekalan air bersih 24 jam sehari
■ semua pihak berkuasa tempatan capai prestasi 10 terbaik peringkat kebangsaan
■ pendigitalan khidmat awam sehingga 85 peratus

Berkat kesungguhannya itu, pengundi Gombak mengangkat Amirudin sebagai ahli parlimen baharu, menewaskan penyandang lama yang meninggalkan parti itu dalam pembelotan 2020, pada pilihan raya umum November lalu.

Ogos ini, setelah tamat sepenggal sebagai Dato’ Menteri Besar, beliau sekali lagi menggalas tugas cukup mencabar — meneraju jentera Pakatan Harapan untuk meraih kemenangan bermakna dalam pilihan raya negeri ke-15.

The post Tekad terus berkhidmat, MB harungi ujian demi berbakti kepada rakyat appeared first on Selangorkini.