Bantuan alatan, modal niaga hingga RM100,000 pacu upaya usahawan

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Selangor menyediakan pelbagai program bagi memacu perniagaan usahawan, khususnya peniaga kecil.

Sepanjang 15 tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (dahulu Pakatan Rakyat) dana ini terbukti berjaya membantu mereka meningkatkan daya saing.

Program ini juga bertujuan membasmi kemiskinan. Berikut jumlah peruntukan dan penerima beberapa program utama.

Pinjaman Hijrah

Yayasan Hijrah Selangor menyediakan pinjaman kewangan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal.

Pinjaman diberikan dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM100,000 mengikut syarat ditetapkan.

Terdapat tujuh skim Hijrah ditawarkan kepada usahawan iaitu Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NADI), Pembiayaan Digitalisasi (GO Digital), i-Bisnes, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.

Sehingga Jun 2023, seramai 58,464 peserta terlibat dengan dana lebih RM768.8 juta. Seramai 34,823 penerima atau 60 peratus adalah usahawan wanita.

Jumlah penerima manfaat program ini seperti ditunjukkan dalam carta.

Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

Individu berpendapatan bawah RM1,500 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000 sebulan boleh memohon untuk meningkatkan taraf ekonomi sekali gus keluar daripada kemiskinan.

Melalui Belanjawan Selangor 2023, peruntukan RM2 juta disalur bagi membantu mereka sebagai penjaja, peniaga atau bekerja sendiri di negeri ini.

Pemberian bantuan dalam bentuk peralatan atau mesin perniagaan berdasarkan perusahaan dilaksanakan. Had siling permohonan sebanyak RM10,000.

Dana sebanyak RM12.2 juta diberi kepada 2,061 orang yang sejak 2018.

Jumlah penerima manfaat program ini seperti ditunjukkan dalam jadual.

Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor

Program diperkenal untuk membantu usahawan India mengembangkan perniagaan. Mereka juga dilatih dalam pengurusan pemasaran dan kewangan.

Antaranya bimbingan perniagaan bersama syarikat peneraju terpilih selama tiga hingga enam bulan bergantung kepada industri yang terpilih.

Mereka juga diberi latihan jualan dan memahami keperluan perniagaan seperti pinjaman, permohonan perlesenan dan pendaftaran syarikat.

Bantuan peralatan kepada peniaga yang memulakan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan ke atas turut diberi dengan nilai maksima RM10,000 setiap permohonan.

Sebanyak RM4.58 juta disalur kepada 552 peserta sejak 2018.

Jumlah penerima manfaat program ini seperti ditunjukkan dalam jadual.

Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

Kerajaan Negeri menyasasarkan sekurang-kurangnya 100 usahawan mikro setiap tahun di sembilan daerah mendapat manfaat yang diperkenalkan sejak 2015.

Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk program bantuan DUMS.

Setiap pemohon menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang dipertimbang untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.

Sejak 2018, dana RM13.25 juta diberi kepada 709 peserta.

Jumlah penerima manfaat program ini seperti ditunjukkan dalam jadual.

The post Bantuan alatan, modal niaga hingga RM100,000 pacu upaya usahawan appeared first on Selangorkini.