Negeri belanja besar pupuk modal insan, lahir generasi berilmu

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Selangor menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) berbelanja lebih RM600 juta untuk menjayakan lebih 40 pakej di bawahnya.

Antaranya pendidikan bertujuan melahirkan generasi berilmu sekali gus menyediakan modal insan berkualiti.

Lapan program Iltizam Pendidikan Selangor di bawah ISP dilaksana demi menjamin masa depan kanak-kanak sehingga remaja dalam pendidikan.

Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS)

Program ini merupakan platform pembelajaran melalui atas talian iaitu eptrs.my bagi pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia dan tahun enam.

Objektifnya membantu pelajar berprestasi sederhana memperoleh keputusan baik dan layak ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Sehingga tahun ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM35,155,262 dengan seramai 166,853 penerima manfaat.

Iltizam Pendidikan Fardu Ain

Kerajaan Negeri menyediakan subsidi yuran bulanan Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (KAFAi) berjumlah RM30 sebulan kepada murid kurang mampu.

Insentif ini memastikan golongan muda mempunyai asas pendidikan agama sebelum mempelajari bidang lain.

Sebanyak RM9,935,475 diperuntuk membabitkan 38,632 penerima di 296 institusi pengajian tinggi.

Iltizam Mahasiswa Selangor

Dikenali hadiah pengajian IPT, program ini membantu keluarga berpendapatan rendah.

Insentif RM1,000 diberi kepada anak Selangor belajar diploma dan sarjana muda di IPT.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM18.35 juta membabitkan 18,350 penerima manfaat.

Peduli Siswa

Inisiatif pembiayaan pendidikan anak Selangor di peringkat sijil, diploma, sarjana muda di IPT dalam negara.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM80,910,224 dengan seramai 3,987 penerima manfaat setakat ini.

Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu)

Bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah, bantuan tajaan yuran asas disedia untuk mahasiswa anak Selangor.

Bermula 2021, ia khas untuk pelajar di IPT milik Kerajaan Negeri iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

Pada 2023, insentif ditambah baik dengan meningkatkan bantuan mengikut semester pengajian iaitu sebanyak dua kali setiap tahun pengajian berbanding sekali sahaja sebelum ini.

Insentif dengan peruntukan RM4 juta ini dinikmati 3,551 penerima manfaat.

Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS)

Seiring keperluan industri dan pembangunan usahawan berasaskan kemahiran, IKTISASS menyediakan latihan kemahiran bersesuaian perkembangan teknologi.

Program termasuk latihan seperti Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia kepada lepasan tahfiz dan pembangunan program Huffaz Profesional.

Sebanyak RM106,967,205 diperuntuk dengan 2,244 orang mendapat manfaat.

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan sumbangan pembaikan infrastruktur Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (2) pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023.

Kerajaan Negeri menyediakan bantuan kewangan membaik pulih infrastruktur sekolah bagi memastikan suasana pembelajaran selamat dan selesa untuk guru dan pelajar di Selangor.

Antara penerima termasuk sekolah terjejas akibat banjir, terutamanya dalam kejadian bah besar pada Disember 2021.

Sebanyak RM153 juta disalur ke 3,981 sekolah pelbagai aliran di negeri ini.

Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS)

Program pinjaman komputer membantu pelajar kurang berkemampuan belajar di rumah.

Mereka boleh meminjam komputer di 50 cawangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan tempoh maksimum 60 hari melalui permohonan pendaftaran di pautan www.ppas.gov.my/form_sepintas

Sebanyak RM1.4 juta diperuntuk dengan 608 penerima manfaat.

The post Negeri belanja besar pupuk modal insan, lahir generasi berilmu appeared first on Selangorkini.