4,321 usahawan terima bantuan alatan niaga, negeri belanja RM21.6 juta sejak 2013

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 21 JULAI: Seramai 4,321 usahawan kecil menerima bantuan alatan perniagaan dengan peruntukan RM21.6 juta menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sejak 2013 sehingga kini.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata pelbagai program turut diberikan bagi membantu mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan bagi membangunkan sosio-ekonomi.

“Kerajaan Negeri sentiasa telus dalam memastikan wang negeri diguna pakai dengan cara yang pernuh berhemah.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa terkehadapan dalam membantu rakyat,” katanya dalam satu kiriman video di Facebook.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau melihat peserta menjahit langsir menggunakan mesin yang disumbangkan menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Hulu Langat di kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi pada 11 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ganabatirau berkata pemberian bantuan dalam bentuk peralatan atau mesin perniagaan itu sentiasa ditambah baik dengan meningkatkan had siling permohonan kepada RM10,000 berbanding hanya RM5,000 sebelum ini.

Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 25 November memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan berbentuk peralatan atau mesin itu diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima bantuan blueprint ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

The post 4,321 usahawan terima bantuan alatan niaga, negeri belanja RM21.6 juta sejak 2013 appeared first on Selangorkini.