1,235 ahli SMUE DUN Kota Anggerik terima baucar RM150

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 15 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menyerahkan sebanyak 1,235 baucar Jom Shopping kepada ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) setakat ini.

Wakil rakyatnya Najwan Halimi memaklumkan berdasarkan data pihaknya, seramai 3,463 warga emas di DUN berkenaan layak menerima baucar beli-belah bernilai RM150.

“Daripada jumlah itu seramai 2,228 warga emas masih belum menuntut baucar beli-belah program yang dilaksana dengan kerjasama Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

“Justeru peserta yang belum menuntut baucar beli-belah tersebut disaran segera hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik untuk mendapatkannya,” katanya ketika dihubungi.

Najwan berkata pihaknya masih menerima pendaftaran sekiranya ada warga emas yang mencapai usia 60 tahun pada tahun ini dan belum mendaftar SMUE.

“Jika ada warga emas yang mencapai usia 60 tahun pada tahun ini dan belum mendaftar SMUE boleh menyemak pusat mengundi.

“Kalau mengundi di kawasan lain, penerima perlu pergi ke pusat khidmat berkaitan untuk mendaftar bagi mendapatkan baucar Jom Shopping,” katanya.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Mulai tahun ini nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Sebelum ini, peserta skim menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih pada bulan kelahiran mereka yang dibuat melalui pusat khidmat masyarakat DUN masing-masing.

The post 1,235 ahli SMUE DUN Kota Anggerik terima baucar RM150 appeared first on Selangorkini.