1,500 warga emas DUN Sementa terima baucar beli-belah RM150

KLANG, 15 FEB: Seramai 1,500 peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri Sementa menerima baucar beli-belah setakat semalam.

Penyelarasnya Afrishah Azizi berkata pihaknya mengagihkan baucar menerusi beberapa kaedah termasuk pergi ke rumah warga emas yang uzur.

Penyelaras DUN Sementa Afrishah Azizi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Penduduk boleh datang ke pejabat pusat khidmat rakyat untuk memgambilnya tetapi kita juga bekerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung anjurkan program di kawasan tertentu untuk agihan baucar,” katanya.

Ditemui di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sementa di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, di sini hari ini, Afrishah berkata pihaknya turut memanfaatkan media sosial untuk menghebahkan inisiatif Kerajaan Negeri kepada penduduk.

“Penggunaan media sosial mempercepatkan mesej yang ingin kita sampaikan kepada masyarakat tentang semua manfaat Kerajaan Negeri,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Klang pada 15 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Sebelum ini, peserta skim menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih hanya pada bulan kelahiran mereka yang dibuat melalui pusat khidmat masyarat DUN masing-masing.

The post 1,500 warga emas DUN Sementa terima baucar beli-belah RM150 appeared first on Selangorkini.