Permohonan baucar beli-belah warga emas, insan istimewa DUN kampung Tunku dibuka 20 Feb

Oleh Zareef Muzammil

SHAH ALAM, 16 FEB: Permohonan baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku dibuka mulai 20 Februari ini.

Wakil rakyatnya Lim Yi Wei memaklumkan individu berusia 60 tahun ke atas, beralamat di Selangor mengikut kad pengenalan dan pengundi negeri ini layak memohon baucar beli-belah bernilai RM150.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada sidang media kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku di Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Serahan borang permohonan baharu perlu dibuat setiap Isnin dari 10 pagi hingga 4 petang di pusat khidmat masyarakat Kampung Tunku, Taman Paramount, Petaling Jaya.

“Mereka yang telah mengambil baucar pada tahun sebelumnya tidak perlu mendaftar semula dengan semakan status melalui pautan smue.yawas.my/admin/online_semakan.php,” menurutnya melalui poster dikongsikan di Facebook.

Beliau berkata tuntutan baucar bagi permohonan yang lulus boleh dibuat setiap Khamis dan Jumaat mengikut masa sama dengan membawa kad pengenalan pemohon.

“Wakil perlu membawa salinan kad pengenalan penerima dan menandatangani surat wakil,” katanya.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Mulai tahun ini nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Sebelum ini, peserta skim menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih pada bulan kelahiran mereka yang dibuat melalui pusat khidmat masyarakat DUN masing-masing.

The post Permohonan baucar beli-belah warga emas, insan istimewa DUN kampung Tunku dibuka 20 Feb appeared first on Selangorkini.