2,565 warga emas DUN Pandan Indah terima baucar beli-belah RM150

OLEH AZIAN AZIZ

CHERAS, 23 FEB: Sebanyak 2,565 daripada 3,985 warga emas yang mendaftar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah telah menerima baucar beli-belah RM150 yang diperuntukkan tahun ini.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Nariza Zain berkata pihaknya masih menunggu baki 1,420 penerima untuk mengambil baucar mereka sebelum DUN dibubarkan.

“Kita telah buat agihan baucar pada 14 Februari lalu dan esok adalah hari terakhir. Sejak tempoh agihan bermula purata 400 penerima datang ke PKM untuk mengambil baucar.

“Kita akan terus menguar-uarkan melalui media sosial dan WhatsApp untuk memanggil warga emas yang belum mengambil baucar agar berbuat demikian di PKM,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pandan Indah di Kampung Cheras Baru hari ini.

Pengurus Pusat Khidmat DUN Pandan Indah
Nariza Zain, 42,

Menurut Nariza pihaknya juga menerima 2,000 permohonan SMUE baharu pada tahun ini.

“Kita akan cuba proses secepat mungkin agar kesemua pemohon yang layak menerima baucar mereka tahun sebelum Jun ini,’’ tambahnya.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

The post 2,565 warga emas DUN Pandan Indah terima baucar beli-belah RM150 appeared first on Selangorkini.