Hampir 4,000 warga emas DUN Kinrara terima baucar beli-belah RM150

PUCHONG, 23 FEB: Hampir 4,000 baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara diagihkan kepada penerima setakat semalam.

Penyelia Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara Rachel Lee Pooi Won berkata proses agihan baucar beli-belah dijalankan di pusat khidmat masyarakat pada setiap hari.

Penyelia PKM Dun Kinrara Rachel. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Setiap hari agihan baucar dilakukan kira-kira 200-300 penerima dan mereka kini tidak perlu menunggu bulan kelahiran untuk mengambilnya.

“Kita lakukan agihan hanya di pejabat pusat khidmat sahaja supaya memudahkan penduduk bertanya dan memohon sebarang bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya ditemui di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kinrara hari ini.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Sebelum ini, peserta skim menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih hanya pada bulan kelahiran mereka yang dibuat melalui pusat khidmat masyarakat DUN masing-masing.

The post Hampir 4,000 warga emas DUN Kinrara terima baucar beli-belah RM150 appeared first on Selangorkini.